25 Disember 2006

Sesi Latihan dan Mesyuarat Mingguan

Bagi kebanyakan orang , penglibatan mereka dalam perniagaan jualan langsung MLM bermula apabila mereka pertama kali menghadiri sesi penerangan di mesyuarat mingguan. Bagi diri mereka, jualan langsung MLM adalah menghadiri mesyuarat mingguan dan membawa prospek bersama mereka. Itulah perkara yang paling logik bagi mereka memandangkan itulah cara mereka dibawa masuk ke dalam bidang jualan langsung MLM.

Apakah ada yang tidak kena dengan senario ini? Betul atau tidak bergantung kepada sudut pandangan anda. Namun saya tidak ingin bercakap mengenai salah dan betul. Saya ingin bercakap mengenai apa yang tidak berjalan dengan baik atau tidak menjadi.

Bayangkan senario ini; anda atau downline anda berjaya melakukan sesuatu yang ramai dari kalangan mereka yang menyertai perniagaan jualan langsung MLM berkeberatan untuk melakukan, iaitu menjemput kenalan untuk menghadiri sesi pengenalan perniagaan yang diadakan setiap minggu di pusat perkhidmatan kumpulan. Downline anda berjaya menjemput ramai kenalan dan orang yang baru anda jumpa untuk menghadiri sesi tersebut. Apa yang berlaku selepas itu? Pada malam yang dijanjikan, tiada siapa yang datang. Ini tentu amat mengecewakan. Apakah selepas itu mereka mempunyai semangat untuk terus membuat jemputan? Apa yang tidak berjalan dengan baik? Apa kekurangannya?

Mari kita bayangkan apa yang biasa terjadi di sesi pengenalan perniagaan jualan langsung MLM. Biasanya dari 25 yang hadir, 20 adalah pengedar dan hanya 5 orang jemputan. Para jemputan yang lain tidak menghadirkan diri. Penceramah sebenarnya memberi penerangan kepada 5 orang, 20 orang yang lain telah mendengarnya berpuluh-puluh kali dan mulai merasa jemu serta tak terdaya lagi.

Semasa penerangan, jika diperhatikan, semua jemputan kelihatan memberi reaksi positif kepada apa yang diterangkan oleh penceramah. Namun begitu apabila anda meminta mereka mengisi borang keahlian, mereka berkata, “tunggu dulu”. Tidak masuk akal bukan? Apa kekurangannya? Produk tidak cukup hebatkah? Syarikat tidak kukuhkah? Pelan Pemasaran kurang menguntungkankah?

Andaikan anda berada di tempat mereka. Apa yang mereka fikirkan? Mereka menganggap penceramah adalah usahawan jualan langsung MLM yang berjaya. Jesteru untuk berjaya, lambat laun mereka perlu mengendalikan sesi penerangan mereka sendiri. Memberi penerangan atau ceramah di hadapan sekumpulan orang merupakan sesuatu yang ditakuti oleh ramai orang, lebih takut dari mati. Sekarang anda tentu faham kenapa mereka menolak pelawaan untuk menyertai anda.

Ini bukan perkara luar biasa. Saya mengenali ramai orang yang suka bercakap samada di pejabat, di kantin atau di kedai kopi. Namun begitu orang yang sama akan menggeletar jika diminta untuk bercakap di hadapan, walau pun mereka mengenali para hadirin. Ianya tidak terhad kepada orang biasa sahaja, malah ketua eksekutif, pengarah dan pengurus juga menghadapi masalah yang sama.

Oh ya, satu PERKARA PENTING yang perlu saya nyatakan di sini; mereka berkata TIDAK kepada peluang yang ditawarkan kepada mereka. Mereka tidak berkata TIDAK kepada diri anda. Justeru, anda tidak perlu merasa kecewa dengannya. Teruskan persahabatan dengan mereka dan jangan mendesak mereka untuk menyertai anda. Sekiranya anda terus menerus menceritakan kebaikan perniagaan jualan langsung MLM kepada mereka, mereka merasa anda mendesak mereka walau pun anda yakin anda tidak mendesak mereka. Ekoran dari itu, mereka akan menjauhkan diri dari anda. Sekarang anda berada di persimpangan, kawan atau jualan langsung MLM? Anda tentu sudah faham sekarang kenapa ada orang berkata lebih senang untuk menaja orang yang tidak dikenali.

Apa yang perlu anda lakukan?

Nantikan sambungannya dua minggu dari sekarang.

Selamat Menyambut Idil Adha dan Tahun Baru 2007. Moga-moga tahun baru ini memberi kejayaan kepada kita semua.

Untuk Kejayaan Bersama,

Ir. Wan Ibrahim

[Peringatan: Ketika membaca artikel ini, sudah tentu ada suara kecil dalam minda anda yang memberi pandangannya mengenai apa yang dibincangkan seperti yang selalu dilakukannya. Anda boleh memilih untuk bersetuju dengannya dan tidak mendapat apa-apa manfaat dari apa yang dibincangkan. Atau anda memilih untuk tidak menghiraukannya dan sesuatu yang anda tidak pernah terfikir sebelumnya mungkin akan datang ke fikiran dan ianya membawa anda ke satu tahap baru di dalam perniagaan anda.]

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home