10 Disember 2006

Bukan Senang Untuk Berjaya Dalam Perniagaan Jualan Langsung MLM

Mengapa saya mengatakan bukan senang untuk berjaya dalam jualan langsung MLM? Adakah saya bersikap negatif?

Apabila anda membaca ayat di atas, saya yakin ada suara kecil di dalam kepala anda yang mengatakan sesuatu kepada anda mengenainya. Saya tidak tahu apa yang suara kecil tersebut katakan kepada anda. Walau apa pun, saya syorkan anda untuk mengakui yang setiap dari kita mempunyai suara kecil yang selalu memerintah kita untuk melakukan sesuatu. Kebiasaannya kita akan mengikut kata-kata suara kecil tersebut walaupun kita tahu yang kita tidak harus mematuhinya. Saya syorkan anda peka kepada apa yang diperkatakan oleh suara kecil anda tetapi memilih untuk tidak mematuhinya. Setidak-tidaknya dalam bidang jualan langsung MLM yang anda ceburi.

Ironinya, apabila kita mengakui yang bukan mudah untuk berjaya dalam jualan langsung MLM, atau apa-apa bidang sekali pun, segala sistem dalam diri kita akan bertindak untuk membawa diri kita mencapai kejayaan. Kalau kita menganggap ianya senang, mungkin seperti yang diyakinkan oleh penaja anda, anda akan mengambil mudah dan menjalankan perniagaan secara sambil lewa, yang sememangnya akan membawa kepada kegagalan.

Saya berikan 8 asas kejayaan dalam jualan langsung MLM kepada anda iaitu:

. Kejayaan adalah pilihan yang anda buat
. Cari apa sebab mengapa anda melibatkan diri
. Katakan YA kepada penolakan
. Dalam kamus kejayaan, kegagalan bermakna anda semakin hampir dengan kejayaan
. Tabiat, membantu atau menjadi beban kepada anda
. Kekuatan bercerita
. Kekuatan menceritakan secara keseluruhan
. Kesediaan memberi lebih dari biasa

Anda mungkin telah mengetahuinya dan telah pun mempraktikkannya tetapi tidak menjadi dan anda merasa anda telah gagal. Syor saya, fikirkan apakah tindakan yang anda telah ambil. Ramai yang menganggap ”kegagalan” tersebut sebagai ”ancaman” kepada diri mereka. Reaksi spontan adalah mengambil tindakan mempertahankan diri. Perasaan yang biasa dikaitkan dengan keadaan ini ialah merasa tertipu, disabotaj, bersalah, masalah, beban dan sebagainya. Justeru tindakan yang biasa diambil ramai orang antaranya adalah:

Memberi alasan kenapa mereka gagal
Mencari bukti mengapa industri jualan langsung MLM tidak baik
Mengelakkan diri dari terjatuh dalam keadaan yang sama
Tidak mahu berbuat sesuatu mengenainya
Menyalahkan prospek, upline, produk, syarikat dan industri jualan langsung MLM
Dan banyak lagi

Anda tahu tak? Apabila anda mempunyai satu impian yang besar, pasti akan berlaku keadaan ”tidak menjadi”. Ini disebabkan terdapat jurang yang besar antara keadaan yang anda alami sekarang dengan apa yang ingin anda capai.

Sebagai contoh, impian anda adalah untuk menjadi jutawan melalui perniagaan jualan langsung MLM. Anda telah menjalankan perniagaan ini untuk beberapa tahun tetapi pendapatan baru mencecah RM1,000 sebulan. Ini tidak boleh jadi? Anda boleh menerima keadaan tersebut seadanya, iaitu belum sampai masanya, dan masih komited untuk menjadi jutawan. Atau anda boleh menganggap ”tidak menjadi” sebagai kegagalan dan memilih untuk tidak meneruskan perniagaan, atau mencari syarikat yang baru ditubuhkan untuk disertai.

Thomas Edison mencuba mentol lampunya beribu kali. Setiap kali mentol yang diuji tidak menyala, beliau menerima ia seadanya. Iaitu mentol itu tidak menyala (tidak menjadi) dan terus dengan ujian berikutnya sehinggalah ianya menyala. Kalau beliau menganggapnya sebagai kegagalan, kita mungkin masih lagi menggunakan pelita untuk mendapat cahaya di waktu malam.

Sekiranya anda mempunyai impian besar dalam perniagaan jualan langsung MLM anda, sudah pasti anda akan menempuh keadaan “tidak menjadi”. Jika anda menerima ia seadanya dan tidak menganggapnya sebagai kegagalan, InsyaAllah anda akan mencapai kejayaan. Menerima seadanya bermaksud anda tidak memberi sebarang makna kepadanya. Contoh makna yang biasa diberikan ramai orang bila berhadapan dengan keadaan “tidak menjadi” ialah saya tidak cukup pandai. “Tidak menjadi” akan dilihat sebagai mencabar diri mereka dan mereka akan mengambil tindakan mempertahankan diri. Cara yang paling selamat untuk mempertahan diri ialah dengan tidak melibatkan diri atau pun membuat impian besar.

Syor saya, lebih baik melibatkan diri anda untuk mempertingkatkan kehidupan anda. Jika anda memilih untuk tidak berbuat sesuatu kerana takut gagal, anda sudah sah menemui kegagalan kerana dunia ini sentiasa bergerak kehadapan. Ingin menguji teori ini? Bila anda berada dalam kereta, bas atau keretapi yang berhenti, di lampu isyarat umpamanya, tumpukan perhatian anda kepada kenderaan yang bergerak di sebelah anda. Anda akan merasai kenderaan yang anda naiki bergerak ke belakang walau pun ia sebenarnya tidak bergerak. Justeru, teruskan komitmen anda, InsyaAllah anda akan memperolehi kejayaan.

Selamat berjaya dan jumpa lagi.

Ir. Wan Ibrahim.

P.S. Saya juga mengingatkan diri saya sendiri mengenai sindrom takut kepada kegagalan. Kegagalan akan terbit sebagai kegagalan apabila kita mengakuinya. Orang yang berjaya menganggap kegagalan bukan sebagai kegagalan tetapi sebagai jambatan untuk mencapai kejayaan. Gagal bukan bermakna saya tidak pandai, ia tidak mempunyai apa-apa makna pun.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home