08 Januari 2010

Bisnes MLM Satu Penipuan?

Majoriti mereka yang mencari peluang untuk menambah pendapatan akan menjauhkan diri dari bisnes MLM. Banyak yang diperkatakan tentang penipuan oleh syarikat MLM? Apa benar begitu? Mari kita bincang secara profesional.

Apa yang sebenar dikatakan penipuan oleh syarikat MLM? Prospek dipujuk untuk menyertai sesuatu syarikat MLM oleh usahawan MLM dengan "melabur" sejumlah wang, biasanya beribu-ribu ringgit. Dengan pelaburan tersebut, mereka dijanjikan pulangan atau bonus yang lumayan. Sebagai bukti akan ditunjukkan salinan cek, kereta baru, rumah baru dan sebagainya.

Di dalam sesi penerangan yang singkat kepada prospek, usahawan MLM lebih menekankan kepada apa yang akan diperolehi oleh prospek jika menyertai mereka dan membuat "pelaburan" tersebut. Dari pelan yang ditunjukkan, jelas menunjukkan jumlah yang akan diterima lebih banyak dari jumlah yang dilaburkan.

Kebiasaannya prospek akan tertarik dengan pelan yang ditunjukkan dan menyertai syarikat MLM tersebut tanpa meneliti pelan ganjaran sebenar, yang disediakan oleh pihak syarikat. Mereka sanggup melabur beribu-ribu ringgit dengan harapan mendapat pulangan berpuluh ribu ringgit. Mungkin ini yang menyebabkan ramai yang mengaitkan bisnes MLM dengan sistem piramid atau skim cepat kaya.

Kenapa ini berlaku? Mari kita lanjutkan perbincangan.

Di dalam keghairahan untuk cepat kaya, Mungkin sesetengah leader atau pemimpin rangkaian ahli (pengedar/usahawan) MLM mahu naik pangkat dengan cepat agar layak mendapat bonus yang tinggi dengan cepat. Caranya dengan meramaikan ahli tajaan (downline) mereka yang naik pangkat. Bila downline naik pangkat, mereka juga turut naik pangkat. Lagi besar pangkat, lagi banyak bonus yang akan diterima.

Katakan syarikat mensyaratkan jumlah jualan sebanyak RM2,500 untuk naik pangkat, katakan pangkat Gangsa (pangkat yang paling rendah). Untuk naik pangkat ke pangkat seterusnya, katakan pangkat Emas, ahli perlu punyai jualan kumpulan RM12,500 serta mempunyai 5 downline aktif.

Justeru untuk mencapai pangkat Emas dengan cepat, leader akan memujuk 5 orang prospek (mungkin lebih untuk mendapatkan 5 orang tersebut) untuk melabur RM2,500. Mereka akan menceritakan apa manfaat yang akan dinikmati sebagai ahli Gangsa. Apabila prospek tadi sudah join, mereka akan diajar untuk melakukan perkara yang sama. Namun kemahiran untuk memujuk prospek tidak ada pada semua orang. Memanglah leader berjanji untuk membantu ahli baru menaja orang baru. Tetapi kita harus ingat, leader juga mempunyai 24 jam sehari macam orang lain. Beliau tidak akan mempunyai masa yang cukup untuk membantu semua ahli di dalam rangkaian beliau. Ahli yang baru join dengan RM2,500 tadi akan terkontang kanting macam ayam kehilangan ibu. Mereka tahu apa yang perlu dibuat kerana telah diberitahu oleh leader, tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk melakukannya dengan berkesan. Seterusnya? Seorang lagi mangsa syarikat MLM? Mangsa syarikat MLM atau mangsa mereka yang terlibat dengan MLM?

Bisnes MLM sebenarnya satu konsep bisnes yang sah di sisi undang-undang Malaysia dan juga dunia. Di peringkat permulaan dahulu Amway pernah didakwa kerana dikatakan menjalankan bisnes haram. Mereka menang kes tersebut dan Amway wujud hingga kini dan terus berkembang.

MLM adalah satu konsep perniagaan, BUKAN pelaburan. Syarikat MLM memilih untuk memasarkan produk mereka melalui pengedar bebas (tidak digaji oleh syarikat). Pengedar bebas (usahawan MLM) akan mengedar atau memasarkan produk tersebut kepada pengguna. Pengedar akan dibayar bonus, berdasarkan jumlah jualan produk, sebagai ganjaran atas usaha mereka memasarkan produk serta melatih pengedar lain di bawah rangkaian masing-masing.

Dalam bisnes tradisi, syarikat akan menjual produk mereka secara borong kepada pemborong. Pemboronglah yang kemudiannya mengedar kepada peruncit, peruncit kepada pengguna. Syarikat akan menggaji eksekutif pemasaran untuk tujuan memperkenalkan atau mempromosi produk mereka. Dalam syarikat MLM, tugas ini dijalankan oleh para pengedar bebas. Justeru amat wajar mereka diberi bonus sebagai ganjaran.

Bisnes MLM bukan Skim Cepat Kaya, justeru untuk berjaya dalam bisnes MLM usahawan perlu komited dan menjalankan bisnes secara profesional mengikut konsep sebenar MLM. Usaha ini mungkin akan memulihkan imej industri MLM di mata masyarakat.

Label: ,