26 November 2006

8 Tabiat Pengusaha MLM Yang Berjaya

Tabiat merupakan faktor utama dalam kehidupan kita kerana ia mencorakkan pembawaan kita dan menjadikan kita seorang yang efektif..... atau tidak efektif.

Justeru, untuk berjaya dalam perniagaan jualan langsung MLM, anda perlu menjadikan 8 perkara berikut sebagai satu kebiasaan (tabiat) dalam kehidupan anda:
  • Menjadi pengguna setia produk yang dikeluarkan oleh syarikat yang diwakili. Anda menggunakan produk tersebut untuk membawa perubahan kepada diri anda, samada dari segi kesihatan, kecantikan atau kecergasan badan dan sebagainya. Membeli produk tetapi bukan untuk digunakan sendiri tidak termasuk dalam kebiasaan pengusaha MLM yang berjaya.


  • Pengusaha MLM yang berjaya mempunyai pelanggan tetap/setia antara 10 hingga 15 orang. Beliau meluangkan masa secukupnya untuk memberi khidmat berkualiti kepada pelanggan beliau. Sebahagian besar masa beliau digunakan untuk membina organisasi perniagaan (membangun usahawan), bukan untuk mendapatkan pelanggan yang ramai.


  • Mewujudkan suasana yang membuat prospek bersedia untuk mendengar peluang yang akan diperkenalkan. Seterusnya mempersembahkan faedah atau manfaat yang prospek inginkan dari penglibatan mereka dalam perniagaan jualan langsung yang ditawarkan. Bantu mereka untuk mencipta impian masing-masing.


  • Menghadiri setiap program yang dianjurkan oleh syarikat atau leader anda. Ini untuk mengingatkan diri anda dan rakan-rakan seperniagaan yang anda menjalankan perniagaan MLM. Ianya juga memberi peluang kepada anda untuk memberi sumbangan kepada kejayaan orang lain dan membuka ruang untuk orang lain menyumbang kepada kejayaan anda.


  • Setiap hari tayangkan, 10 hingga 15 minit, impian yang anda bina untuk diri dan kehidupan anda yang akan anda perolehi melalui perniagaan jualan langsung MLM. Tayangan ini akan menyegarkan ingatan minda anda kepada apa yang anda ingini dan menggerakkan seluruh sistem tubuh anda untuk mencapai impian tersebut.


  • Menjadikan diri sebagai punca bagi setiap hasil yang diperolehi, samada hasil yang dicapai mencapai sasaran atau pun tidak. Dengan kata lain mengambil tanggungjawab ke atas pencapaian Walaupun bukan anda penyebabnya. Sekiranya gagal mencapai sasaran, jangan mencari kesilapan tetapi cari apa yang membuat ianya tidak menjadi.

    Sebagai contoh, anda membuat permohonan untuk membuat pribiu perniagaan di sebuah persatuan tetapi permohonan anda ditolak. Jangan cari di mana salah anda dalam membuat permohonan, tetapi berbincang dengan pihak berkenaan mengenai kandungan atau ciri pribiu atau perniagaan anda yang tidak selaras dengan polisi mereka dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.


  • Menaikkan maruah setiap ahli pasukan anda, samada orang atas atau orang bawah. Orang yang merasa diri mereka dihormati akan memberi sepenuh komitmen yang diperlukan.


  • Mengikut sistem yang disediakan oleh pasukan/leader. Apakah rahsia kejayaan KFC Fried Chicken, McDonald dll? Sistem!!! Ke mana saja anda pergi, anda akan perolehi kualiti yang sama dari restoran yang dijalankan oleh orang yang berlainan. Restoran makanan segera tersebut tidak mempunyai tukang masak, pekerja mereka memasak menggunakan sistem yang disediakan. Sama juga dengan perniagaan anda, setiap ahli pasukan hendaklah menggunakan slaid yang sama, bahan sokongan yang sama dalam memperkenalkan perniagaan kepada prospek.

Harapan saya, pertimbangkan apa yang dipaparkan di atas. Jika anda fikir ianya dapat membawa perubahan kepada perniagaan anda, amalkannya. Ilmu yang tidak diamal tidak akan membawa apa-apa perubahan.

Untuk Kejayaan Anda,

Ir. Wan Ibrahim.

11 November 2006

Peliknya Perangai Manusia

Selamat berjumpa kembali.

Dua hari lepas, modem saya rosak akibat terkena petir. Saya tidak menggunakan surge protector dan terlupa mencabut kabel telefon sebelum keluar rumah. Apabila hendak menggunakannya di waktu malam, saya dapati lampu petunjuk DSL tidak menyala.

"Mungkin dah rosak terkena petir petang tadi," kata anak lelaki saya yang mahir dengan komputer.

Saya perlu menggunakan Internet untuk menyiapkan beberapa kerja saya. Jadi terpaksalah keluar membeli modem baru. Saya mengajak anak lelaki saya, keluar bersama-sama saya. Apabila sampai balik ke rumah kami terus menguji modem yang baru dibeli tadi.

"Alamak! Lampu DSL tak menyala juga. Takkan rosak juga, baru beli ni." Kata saya.

"Cuba sambung direct, tak payah guna splitter. Mungkin splitter rosak juga." Kata anak saya.

Saya mengikut saranan anak saya dan mendapati modem berfungsi seperti yang sepatutnya apabila tidak menggunakan splitter.

"Alamak!" Perkataan ini serentak terkeluar dari mulut kami.

"Entah, entah modem lama OK lagi. Rugilah macam ni." Saya menyambung. "Mari kita test, kalau OK jangan beritahu mama. Nanti dia marah kerana kita membazir."

Saya pun menyambung modem terus ke jack telefon tanpa melalui splitter. Keputusannya? Lampu DSL tidak menyala!!!!

"Yahooooo!!!!" Kami berdua bersorak serentak. Kami gembira kerana terbukti modem lama telah rosak.

Beberapa ketika selepas itu saya terfikir. Kenapa kami gembira apabila mendapati modem tersebut telah benar-benar rosak. Alangkah baiknya kalau ia tidak rosak. Kalau ia masih berfungsi, kami mempunyai modem spare yang boleh digunakan apabila keadaan memerlukan.

Apa yang saya dapati? Memang begitulah sifat manusia biasa. Kita tidak ingin membuat keputusan yang salah. Kita tidak dapat menerima kenyataan yang kita membuat keputusan yang salah. Kita seterusnya akan mencari jalan untuk mewajarkan keputusan tersebut.

Mari fikirkan bersama, adakah kita melakukan perkara yang sama ketika menaja prospek baru ke dalam perniagaan jualan langsung MLM kita? Lihat semula bagaimana cara kita menjawab penolakan dari mereka. Lihat semula apa yang kita ucapkan bila mereka berkata mereka tiada masa, barang mahal, sistem piramid, tak pandai menjual, tiada kenderaan dan sebagainya. Adakah cara kita itu menyalahkan mereka. Sekali fikir ianya mungkin seperti tidak menyalahkan. Saranan saya, fikir dalam-dalam. Mungkin dalam penyampaian kita ada tersirat mesej "kita betul mereka salah".

Kita perlu ingat, manusia biasa tidak ingin kelihatan salah dalam membuat keputusan. Mereka mungkin akan menyertai perniagaan anda kerana ada telah membuat susulan. Biasanya seseorang prospek akan menyertai anda sekiranya anda membuat susulan sekurang-kurangnya tujuh kali. Namun begitu mereka tidak akan menjalankan perniagaan merek untuk membuktikan (tanpa mereka sedari) bahawa mereka betul dalam mengatakan mereka tiada masa, sistem piramid, dll.

Itulah yang terjadi dengan saya dan modem. Saya gembira bila terbukti modem tersebut rosak walau pada hakikatnya saya ingin ia berfungsi.

Untuk mencapai kejayaan sebenar dalam penajaan, anda perlu menangani penolakan prospek dengan cara yang tidak menyalahkan mereka.

Renungkan perbualan berikut:

Prospek: "Perniagaan jualan langsung MLM mungkin boleh memberikan kebebasan kewangan. Tapi saya tiada masa lah."

Penaja: "Masa tidak menjadi isu. Yang menjadi isu ialah masa yang berkualiti. Jika kita mengurangkan masa untuk menonton TV dan lain-lain aktiviti yang tidak berfaedah, kita akan mempunyai banyak masa. Dulu saya pun sama juga."

Jika anda gunakan skrip di atas untuk menaja, saranan saya, masa telah tiba untuk sediakan skrip baru.

Sekiranya anda terasa tulisan ini menyalahkan anda. Anda bebas untuk menolaknya. Namun pinta saya, renungkanlah demi untuk nama baik industri jualan langsung MLM.

Moga jumpa lagi.