21 Januari 2007

Motivasi Untuk Pengusaha Jualan Langsung MLM

Bagaimana dengan perkembangan perniagaan jualan langsung MLM anda sekarang? Adakah ia mencapai tahap seperti yang diimpikan? Jika ya, Alhamdulillah. Jika belum, adakah ia berjalan seperti yang dirancangkan? Jika tidak, mengapa?

Tak usahlah anda mencari kesalahan atau kesilapan, samada pada diri sendiri atau downline anda, yang menyebabkan anda masih belum berjaya. Jika anda mencari sebab atau alasan ”kegagalan”, anda hilang tenaga dan semangat untuk meneruskan perniagaan anda. Daripada mencari di mana silapnya, adalah lebih bertenaga jika anda menumpukan perhatian untuk mencari kekurangan dalam usaha anda untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan jualan langsung MLM yang anda sertai.

Saya mengajak anda untuk mencari kekurangan tersebut dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Kita mulakan dengan aktiviti menaja. Bagaimana kebiasaan kita menaja?

Senario 1: Kita menjemput prospek untuk menghadiri satu majlis dan kita tidak memberitahu majlis tu majlis apa. Di majlis tersebut kita menyediakan jamuan ringan untuk para jemputan, selepas menjamu selera kita menjemput mereka mendengar penerangan mengenai peluang perniagaan. Penceremah memberi penerangan mengenai ciri-ciri perniagaan jualan langsung MLM yang hendak diperkenalkan dan hanya memberitahu nama syarikat berkenaan apabila ceramah sudah hampir sampai ke penghujung. Kemudian para jemputan dihulurkan borang untuk diisi.

Di akhir majlis, didapati tidak ramai yang menandatangani borang keahlian. Di mana silapnya? TIADA apa-apa kesilapan, semuanya OK.


Senario 2: Kita menjemput prospek untuk menghadiri majlis penerangan mengenai peluang perniagaan baru yang amat menguntungkan tanpa memberitahu jenis perniagaan yang dimaksudkan.

Ceramah dimulakan dengan penerangan mengenai syarikat, diikuti dengan penerangan mengenai produk dan akhirnya, pelan pemasaran.

Di akhir program, tidak ramai yang ingin menyertai? Ada apa-apa kesilapan? Tiada? Program dijalankan mengikut apa yang diajar oleh para leader dan seperti panduan perniagaan yang terdapat dalam kit perniagaan yang disediakan.

Bagaimana dengan kekurangan? Banyak, jika dicari dan dicungkil.

Adakah kejujuran ditunjukkan ketika menjemput prospek dan juga ketika membuat persembahan? Bagaimana dengan kejujuran dalam berkongsi pengalaman. Bagaimana dengan timbangrasa terhadap perasaan prospek? Bagaimana dengan keihlasan anda untuk melihat perubahan dalam hidup mereka? Bagaimana dengan mewujudkan suasana yang membolehkan tetamu menyuarakan suara hati mereka?

Apa impak ke atas prospek atau tetamu yang dijemput? Satu darinya adalah para prospek telah menutup minda mereka, tanpa mereka sedari, apabila minda mereka merasa diri mereka telah tertipu. Apabila mereka dijemput untuk menyertai perniagaan jualan langsung MLM yang diperkenalkan, mereka berkeberatan walaupun telah melihat keunikan peluang yang ditawarkan.

Apa kesannya ke atas diri anda?

Anda akan merasa kecewa, tetapi tetap meneruskan aktiviti penajaan menggunakan cara yang sama. Tetapi untuk berapa lama?

Saranan saya, lengkapkan kekurangan yang ada dalam aktiviti penajaan anda. Bersedia untuk menerima penolakan prospek untuk menghadiri majlis yang dianjurkan. Kini anda berupaya untuk menerima penolakan kerana ianya akan tampak jelas pada minda anda yang prospek menolak peluang yang ditawarkan, bukan penolakan terhadap diri anda. Anda masih lagi boleh berkawan dengan beliau dan tidak akan berkeberatan untuk membuat jemputan ulangan di masa hadapan.

Sekiranya ada kekurangan dalam jemputan dan program penajaan, kemungkinan besar anda akan merasa prospek menolak diri anda apabila mereka tidak menyertai pernigaan jualan langsung MLM yang anda perkenalkan. Justeru anda tidak lagi mahu mengundang prospek yang sama di masa hadapan kerana tidak mahu perkara yang sama berulang lagi. Anda mungkin juga menjauhkan diri dari mereka. Pertimbangkan bahawa inilah punca mengapa anda tidak mahu mengundang kawan-kawan dan sanak saudara untuk bersama-sama anda dalam perniagaan jualan langsung MLM. Anda bimbang akan “kehilangan” mereka.


Selamat maju jaya dan jumpa lagi.

Ir. Wan Ibrahim.


0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home