05 Februari 2007

Motivasi Untuk Pengusaha Jualan Langsung MLM – Bhg. 2

Kita biasa mendengar para pemimpin jualan langsung MLM selalu berkata bahawa secara purata terdapat 85% hingga 95% mereka yang gagal dalam perniagaan ini. Kita tidak tahu sejauh mana ketepatan statistik ini, namun itu bukan persoalannya. Yang kita tahu bekas pengusaha yang sudah hilang kepercayaan dengan potensi jualan langsung. Ada yang meletakkan barangan, pelan pemasaran, pihak syarikat, atau downline sebagai punca kegagalan mereka.

Sekiranya mereka menyertai syarikat baru atau syarikat lain, biasanya mereka melakukannya bukan atas sebab keyakinan pada industri jualan langsung. Jika dimuhasabah diri, kebanyakan mereka akan mendapati mereka menyertai syarikat baru/lain untuk membuktikan kepada diri mereka bahawa susah untuk berjaya dalam perniagaan jualan langsung MLM. Juga untuk mengubat rasa takut kerugian, ”RUGI KALAU TAK CUBA, MANA TAHU YANG NI MENJADI PULA”. Jika anda tidak tergolong dalam kategori ini, syukur. Jika anda dapati diri anda merasakan demikian, tanya kepada diri sendiri mengapa anda menyertai perniagaan jualan lansung MLM ini. Apa yang anda nampak ketika anda mula-mula diperkenalkan kepadanya. Apa yang membuat hati anda tergerak untuk mengisi dan menandatangan borang permohonan?

Mencari sebab sebenar mengapa anda menyertai perniagaan jualan langsung MLM ini merupakan asas pertama ke arah kejayaan. Apabila sudah jelas mengapa anda menyertai perniagaan ini, barulah anda boleh menangani isu-isu berikut:

• Kenapa bersusah payah menaja?
• Kenapa sanggup tersangkut dalam kesesakan lalulintas setiap pagi dan petang?
• Kenapa hanya berurusan dengan orang tertentu sahaja?
• Kenapa perlu tunjukkan peluang perniagaan jualan langsung kepada prospek setiap hari?
• Kenapa perlu habiskan hujung minggu untuk perniagaan?
• Kenapa perlu menghadiri mesyuarat setiap minggu?

Contoh ”SEBAB”:

"Saya sanggup menghadapi cabaran dalam perniagaan langsung KERANA saya ingin mempunyai lebih masa untuk keluarga, mempunyai wang yang cukup untuk membiayai pelajaran anak-anak dan membawa mereka bercuti. Pendapatan yang diperolehi dari perniagaan juga membolehkan saya untuk memberi sedekah dan derma kepada organisasi pilihan saya. Saya juga boleh membawa perubahan kepada masyarakat saya dari segi ekonomi dan kesihatan."

Saya menjemput anda (dan diri saya sendiri), untuk menilai di mana kedudukan masing-masing dalam perniagaan jualan langsung MLM sekarang DAN di mana anda ingin berada 5 tahun dari sekarang. Rancangkan apa yang perlu dilaksana untuk mencapai sasaran, LAKSANAKANNYA dan pantau pencapaian dari masa ke semasa. Sekiranya sasaran tidak dicapai, cari apa kekurangannya dan tingkatkan usaha.

TULISKAN visi anda dan perancangan untuk mencapainya dan MENGAPA anda ingin mencapainya. Bacakan ia setiap pagi sebelum memulakan hari anda dan kongsi secara ikhlas dengan kenalan anda. Setiap kali anda berkongsi, visi anda menjadi semakin NYATA di minda anda. Apa yang minda dapat gambarkan akan dapat dicapai. Jika minda menggambarkan kejayaan, kejayaan yang bakal dicapai. Begitulah sebaliknya.

JADI SEORANG JUARA, SAHUTI CABARAN SAYA. TULISKAN VISI, MENGAPA ANDA INGIN MENCAPAINYA DAN SEDIAKAN PERANCANGAN.

Inilah langkah pertama untuk menjalani kehidupan yang bertenaga dan juga mencapai “SEBAB” anda. Bila anda terfikir untuk berhenti, fikirkan “SEBAB” anda. Ia akan memberi anda kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Jumpa lagi.

Ir. Wan Ibrahim.

0 Comments:

Catat Komen

<< Home