03 September 2006

Cabaran Perniagaan Jualan Langsung MLM

Anda tentu pernah mendengar formula ini, "Untuk berjaya dalam perniagaan jualan langsung MLM, seseorang itu perlu melaksana konsep 5M. 5M mewakili mengguna, menjual, menaja, mesyuarat dan melatih (memberi khidmat).

Anda juga tentu pernah mendengar nasihat ini dari upline anda, "Jika anda ingin berjaya, hadiri setiap mesyuarat, setiap latihan, setiap rally dan setiap program yang dianjurkan oleh leader atau syarikat".

Apa yang mula-mula datang ke fikiran anda bila terdengar formula atau nasihat di atas? Adakah anda merasa teruja untuk melaksanakannya dengan sukarela? Besar kemungkinan anda berkeberatan untuk melaksanakannya tetapi terpaksa kerana ingin memburu kejayaan yang dijanjikan. Ia adalah sesuatu yang lumrah. Kebanyakan orang akan merasakannya sebagai satu beban atau sesuatu yang sukar dilaksanakan. Tidak kurang juga yang merasa sangsi dengan janji yang diberikan. Mereka mungkin percaya tetapi tidak yakin untuk melaksanakannya. Mereka mungkin mencuba beberapa kali, tetapi apabila mereke menemui kegagalan, mereka akan berkata bahawa kesangsian tersebut telah terbukti. Jesteru mereka meninggalkan perniagaan dan melupakan impian mereka untuk mencapai kebebasan kewangan melalui perniagaan jualan langsung MLM.

Jika anda merupakan salah seorang dari mereka, saranan saya -- Jangan salahkan diri anda, penaja anda, leader anda, syarikat atau industri jualan langsung MLM. Ia memang perkara biasa bagi manusia. Mereka yang berjaya bukanlah seorang yang luar biasa. Mereka adalah manusia biasa yang sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa.

Pernahkah anda terbaca iklan yang menyatakan anda tidak perlu mengguna, menjual, menaja, mesyuarat atau maintain jika menyertai peluang yang dipromosikan? Anda mungkin tertarik untuk menyertainya.

Untuk menyegarkan kembali ingatan anda; Pemasaran berbilang tingkat, atau lebih dikenali dengan jualan lansung MLM, merupakan satu kaedah pemasaran atau pengedaran produk atau perkhidmatan. Anda akan mendapat pulangan apabila produk atau perkhidmatan diedarkan. Tiada pengedaran bermakna tiada pulangan. Jika produk atau perkhidmatan tidak digerakkan, tetapi anda masih mendapat pulangan, ianya bukan perniagaan jualan lansung MLM. Ianya mungkin satu pelaburan.

Berbalik kepada konsep 5M. Perlukah anda menjual? Kita telah berbicara mengenai perkara ini (sila rujuk kiriman sebelum ini).

Bagaimana dengan mengguna? Sekiranya anda mengguna sesuatu produk disebabkan perniagaan dan bukan keistimewaan produk tersebut, bagaimana mungkin pembeli yang bukan ahli akan membelinya. Downline anda membeli produk yang dipasarkan oleh syarikat jualan langsung MLM anda demi kepentingan perniagaan beliau. Apabila beliau mendapati perniagaannya tidak berkembang seperti diharapkan, beliau akan berhenti membeli. Apabila beliau berhenti membeli, perniagaan anda akan terjejas.

Sekiranya anda menyertai perniagaan tersebut kerana keistimewaan produk atau perkhidmatan yang dipasarkan, peluang anda untuk berjaya adalah lebih besar. Sebelum itu anda perlu mengguna produk atau perkhidmatan tersebut untuk "merasai" sendiri keistimewaannya dan dapat berkongsi dengan penuh keyakinan mengenainya. Apabila anda sudah yakin dengan keistimewaannya, mengguna bukan sesuatu yang membebankan malah merupakan satu keperluan. Jika anda dan majoriti downline anda menggunakan produk yang dibuat atau dipasarkan oleh syarikat jualan langsung MLM anda, anda sudah tentu mempunyai jualan. Lebih besar organisasi anda, lebih besarlah volume anda. Jesteru anda tidak perlu risau tentang menjual. Anda boleh gunakan masa yang ada untuk tujuan penajaan.

Menaja -- siapa yang hendak kita taja? Setiap orang yang kita jumpa? Kata orang lebih senang untuk menaja orang yang tidak dikenali berbanding dengan sanak saudara dan sahabat handai. Kenapa begitu? Sepatutnya sanak saudara dan sahabat handailah yang lebih senang untuk kita taja. Kita tentu tidak merasa malu untuk membentangkan peluang yang kita temui tersebut kepada mereka.

Pertimbangkan bahawa mereka mengenali kita, kedudukan kita, tabiat kita, latarbelakang kita dan segala-galanya mengenai kita. Tiba-tiba kita ingin menceritakan satu impian yang begitu besar (kebebasan kewangan), percaya atau yakinkah mereka? Jika anda berada ditempat mereka, apa pendapat anda bila ada sanak saudara atau sahabat handai yang datang untuk menaja anda. Anda mungkin menyertai mereka kerana "terpaksa" (tidak sanggup mengatakan tidak) atau berkata, "tunggu kau berjaya dulu".

Jadi bagaimana anda hendak menaja? Tanya diri anda, pernahkah anda menyertai sesuatu aktiviti secara sukarela dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh? Jika jawapannya ya, ingat kembali apa yang menyebabkan anda menyertainya. Sebab yang membuat anda tersentuh, terharu dan teruja untuk menyertainya dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Lihat pula mengapa anda menyertai perniagaan jualan langsung MLM yang anda usahakan sekarang. Sekiranya sebab tersebut sesuatu yang membuat anda tersentuh, tergerak hati dan teruja, kongsikannya dengan prospek anda. Sekiranya mereka tersentuh, terharu dan teruja dengan apa yang anda kongsikan, pelawalah mereka untuk bersama anda bagi menzahirkan apa yang membuat mereka tersentuh, terharu dan teruja.

Sebagai contoh, saya ceritakan kisah seorang peguam yang giat menjalankan perniagaan jualan langsung MLM. Anak beliau yang berumur 5 tahun mengidap penyakit asma yang kronik dan sedang menjalani rawatan. Wang ringgit tidak menjadi masalah kepada beliau, pendapatan beliau sebagai seorang peguam swasta amat lumayan sekali. Yang selalu merisaukan beliau ialah apabila anaknya diserang asma di waktu awal pagi. Ketika kebanyakan orang sedang tidur, beliau dan isteri terpaksa berkejar ke hospital. Perkara tersebut bukan sekali dua terjadi, tetapi berulang kali sehingga menjejaskan kehidupan mereka suami isteri. Untuk pendekkan cerita, penyakit anak beliau bertambah baik selepas mengambil satu produk pemakanan tambahan. Mereka merasa tersentuh, terharu dan teruja dengan perkembangan anak mereka. Mereka ceritakan perkembangan anak mereka kepada sanak saudara dan kenalan tanpa sebarang niat tersembunyi, mereka cuma hendak berkongsi kegembiraan mereka. Ini membuat mereka yang mendengar merasa tersentuh, terharu dan teruja dan mula bertanya tentang produk berkenaan. Itulah saat yang merupakan titik permulaan peguam tersebut menceburi diri dalam dunia jualan langsung MLM. Misi beliau ialah untuk memberi peluang kepada kaum keluarga dan para kenalan menjalani kehidupan yang sihat. Beliau kini merupakan salah seorang leader dalam syarikat jualan langsung MLM yang beliau sertai.

Sekian dulu untuk kali ini, kita sambung lagi bicara mengenai "Penajaan Berkesan" dan konsep 5M dua minggu dari sekarang.

Salam Sejahtera

Ir. Wan Ibrahim
emel: ceo@wanibrahim.com.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home