30 September 2006

Apakah Sebab Sebenar Prospek Join Anda; Penajaan Berkesan - Bhg. 2

Selamat berjumpa kembali. Untuk umat Islam, selamat menjalani ibadat puasa.


Mengikut kajian, lebih dari 80% mereka yang gagal dalam jualan langsung MLM tidak menaja (sendiri) ahli baru walaupun seorang. Dari mula mereka menyertai jualan langsung MLM, mereka tidak mempunyai komitmen dan keyakinan untuk berjaya. Bagi kebanyakan mereka, buat apa buang masa kalau dah tahu susah nak berjaya. Tapi apa nak buat, kawan dah pujuk. Kalau tak masuk, kecil hati pula dia. Kalau tak join, mungkin rugi pula aku sebab kawan nak tolong kembangkan. Kata mereka, "Untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

Saya sendiri pernah melakukannya dahulu. Bila kawan rapat memberi prebiu yang sangat "mendesak", saya join juga walau tiada keyakinan dengan program yang ditawarkan. Waktu itu saya telah membuat keputusan yang saya tidak akan aktif dengan syarikat tersebut. Memandangkan kawan saya tu beria-ia hendak menolong mengembangkan organisasi saya, kenapa tidak. Tetapi adakah saya memberi keadilan untuk upline, diri sendiri dan ahli di bawah saya? Kepada bekas penaja saya dalam jualan langsung MLM walau di mana anda berada, kiranya anda membaca tulisan saya ini, saya memohon kemaafan. Sebagai menebus "kesalahan" saya, inilah sumbangan saya kepada jualan langsung MLM.

Kini saya mempunyai keberanian untuk menyatakan apa yang tersirat di hati apabila kawan mempelawa saya menyertai syarikat jualan langsung MLM mereka. Saya dapat luahkan apa yang saya fikir tanpa rasa takut "kehilangan" kawan atau saudara. Jika program yang diperkenalkan tidak nampak dapat membantu merubah hidup saya, saya akan katakan, "Terima kasih kerana menceritakan kepada saya, tetapi program ini bukan untuk saya". Saya bukannya "menghalau" mereka, tetapi menyatakan seadanya, dan kami masih berkawan rapat. Dan jika saya dapati progran yang ditawarkan sesuai dan dapat menambahbaik perancangan masa depan saya, saya akan sertai mereka dan pada waktu yang sesuai. Mungkin serta merta jika memerlukan atau apabila sampai masanya mengikut perancangan saya. Ada orang akan berkata, "Telefon dan buat janjitemu dengan segera. Kalau lambat, prospek anda akan diambil orang". Ada benarnya kata-kata itu. Tetapi kalau anda tidak bersedia, anda akan biarkan tajaan (downline) baru itu terkapai-kapai seorang diri. Lamban laun beliau akan lemas. Nanti kata mereka, "Kita carilah yang pandai berenang". Yang pandai berenang pun akan hilang arah jika berenang bersendirian. Bila kehabisan tenaga, beliau akan tenggelam juga.

Suka saya bertanya, apa yang anda nampak dari perbincangan di atas atau apa yang terurai bagi anda?

Pertimbangkan pendapat ini; Seseorang prospek menyertai syarikat jualan langsung MLM yang anda perkenalkan atas alasan tersendiri, bukannya atas sebab-sebab yang anda tunjukkan kepada mereka. Tugas anda sebagai penaja adalah untuk mengorek sebab atau alasan tersebut. Kemudian bincang dan rancang dengan mereka bagaimana cara terbaik untuk mereka mencapai matlamat mereka. Bila mereka mencapai matlamat mereka, secara tak langsung anda akan mencapai matlamat anda!

Anda tentu pernah mendengar alasan-alasan berikut apabila mengajak kenalan menyertai perniagaan jualan langsung MLM anda:

. Saya tiada masa
. Saya tiada duit
. Ini skim piramid
. Ini skim cepat kaya
. Saya tidak tahu menjual
. Saya tiada kenderaan
. dan banyak lagi alasan lain..........

Anda sudah tentu diajar oleh penaja atau leader anda bagaimana hendak menangani penolakan-penolakan tersebut. Anda telah diberi skrip untuk diucapkan kepada mereka dan akan membuat susulan sehingga mereka berkata "Ya". Pertimbangkan kemungkinan bahawa anda telah "memaksa" mereka menerima pendapat anda. Bukannya salah, cuma ianya tidak akan menjadi. Ianya berlawanan dengan naluri manusia. Manusia biasa tidak suka diri mereka diperintah atau dipengaruhi (dominate). Masing-masing ada cara tersendiri untuk mengelakkannya. Ianya akan menjadi (berjaya) apabila mereka tersentuh perasaan, terharu dan terdorong dengan apa yang anda kongsikan. Lihatlah kaedah yang digunakan oleh iklan dan anda akan faham maksud saya. Kita tidak merasakan diri kita diperintah atau dipengaruhi oleh "iklan", tetapi kita merasa tersentuh, terharu dan terdorong dengan manfaat yang bakal kita perolehi apabila menggunakan produk yang diiklankan.

Contoh: Cuba tanya mereka yang menggemari Milo soalan ini:

"Adakah anda meminum Milo kerana terpengaruh dengan iklan?"
Tentu jawab mereka, "Tidak!"
Tanya lagi, "Habis tu kenapa anda minum Milo?"
Mereka akan menjawab, "Kerana ia menjadikan saya sihat dan kuat".

Satu lagi contoh; Mungkin tidak ramai yang suka memberi sedekah kepada peminta sedekah atau mereka yang mengutip derma. Anda tentu ingat program TV3, "Bersama Mu" kalau tak silap saya. Satu program yang memaparkan kepahitan hidup insan berkenaan dan TV3 memberi peluang kepada penonton untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban insan tersebut. Boleh dikatakan semua yang menonton merasa tersentuh, terharu dan terdorong dengan apa yang dipaparkan. Dan memang terbukti, ramai yang tampil kedepan untuk memberi sumbangan masing-masing kepada insan yang diperkenalkan.

Lagi Contoh; "Mat, aku ada jumpa satu produk ajaib. Ia dapat menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Selepas 3 hari guna, semua penyakit kau akan hilang. Ha satu lagi Mat, kalau kau masuk jadi ahli dan edar CD yang kami dah sediakan, kau akan perolehi pendapatan puluhan RM sebulan. Kau minat nak dengar tak?"

Kalau anda jadi Mat, adakah anda akan merasa tersentuh, terharu dan terdorong untuk menyertai perniagaan yang dipromosikan?" Mungkin ya, dan mungkin juga tidak.

Jika ya, kenapa? Dan jika tidak, kenapa? Anda mungkin ada cara tersendiri. Saya menjemput anda untuk berkongsi pengalaman, pandangan atau komen agar kita sama-sama mendapat manfaat darinya.

Sehingga bertemu lagi pada 15 Oktober 2006.

0 Comments:

Catat Ulasan

<< Home