21 Januari 2007

Motivasi Untuk Pengusaha Jualan Langsung MLM

Bagaimana dengan perkembangan perniagaan jualan langsung MLM anda sekarang? Adakah ia mencapai tahap seperti yang diimpikan? Jika ya, Alhamdulillah. Jika belum, adakah ia berjalan seperti yang dirancangkan? Jika tidak, mengapa?

Tak usahlah anda mencari kesalahan atau kesilapan, samada pada diri sendiri atau downline anda, yang menyebabkan anda masih belum berjaya. Jika anda mencari sebab atau alasan ”kegagalan”, anda hilang tenaga dan semangat untuk meneruskan perniagaan anda. Daripada mencari di mana silapnya, adalah lebih bertenaga jika anda menumpukan perhatian untuk mencari kekurangan dalam usaha anda untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan jualan langsung MLM yang anda sertai.

Saya mengajak anda untuk mencari kekurangan tersebut dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Kita mulakan dengan aktiviti menaja. Bagaimana kebiasaan kita menaja?

Senario 1: Kita menjemput prospek untuk menghadiri satu majlis dan kita tidak memberitahu majlis tu majlis apa. Di majlis tersebut kita menyediakan jamuan ringan untuk para jemputan, selepas menjamu selera kita menjemput mereka mendengar penerangan mengenai peluang perniagaan. Penceremah memberi penerangan mengenai ciri-ciri perniagaan jualan langsung MLM yang hendak diperkenalkan dan hanya memberitahu nama syarikat berkenaan apabila ceramah sudah hampir sampai ke penghujung. Kemudian para jemputan dihulurkan borang untuk diisi.

Di akhir majlis, didapati tidak ramai yang menandatangani borang keahlian. Di mana silapnya? TIADA apa-apa kesilapan, semuanya OK.


Senario 2: Kita menjemput prospek untuk menghadiri majlis penerangan mengenai peluang perniagaan baru yang amat menguntungkan tanpa memberitahu jenis perniagaan yang dimaksudkan.

Ceramah dimulakan dengan penerangan mengenai syarikat, diikuti dengan penerangan mengenai produk dan akhirnya, pelan pemasaran.

Di akhir program, tidak ramai yang ingin menyertai? Ada apa-apa kesilapan? Tiada? Program dijalankan mengikut apa yang diajar oleh para leader dan seperti panduan perniagaan yang terdapat dalam kit perniagaan yang disediakan.

Bagaimana dengan kekurangan? Banyak, jika dicari dan dicungkil.

Adakah kejujuran ditunjukkan ketika menjemput prospek dan juga ketika membuat persembahan? Bagaimana dengan kejujuran dalam berkongsi pengalaman. Bagaimana dengan timbangrasa terhadap perasaan prospek? Bagaimana dengan keihlasan anda untuk melihat perubahan dalam hidup mereka? Bagaimana dengan mewujudkan suasana yang membolehkan tetamu menyuarakan suara hati mereka?

Apa impak ke atas prospek atau tetamu yang dijemput? Satu darinya adalah para prospek telah menutup minda mereka, tanpa mereka sedari, apabila minda mereka merasa diri mereka telah tertipu. Apabila mereka dijemput untuk menyertai perniagaan jualan langsung MLM yang diperkenalkan, mereka berkeberatan walaupun telah melihat keunikan peluang yang ditawarkan.

Apa kesannya ke atas diri anda?

Anda akan merasa kecewa, tetapi tetap meneruskan aktiviti penajaan menggunakan cara yang sama. Tetapi untuk berapa lama?

Saranan saya, lengkapkan kekurangan yang ada dalam aktiviti penajaan anda. Bersedia untuk menerima penolakan prospek untuk menghadiri majlis yang dianjurkan. Kini anda berupaya untuk menerima penolakan kerana ianya akan tampak jelas pada minda anda yang prospek menolak peluang yang ditawarkan, bukan penolakan terhadap diri anda. Anda masih lagi boleh berkawan dengan beliau dan tidak akan berkeberatan untuk membuat jemputan ulangan di masa hadapan.

Sekiranya ada kekurangan dalam jemputan dan program penajaan, kemungkinan besar anda akan merasa prospek menolak diri anda apabila mereka tidak menyertai pernigaan jualan langsung MLM yang anda perkenalkan. Justeru anda tidak lagi mahu mengundang prospek yang sama di masa hadapan kerana tidak mahu perkara yang sama berulang lagi. Anda mungkin juga menjauhkan diri dari mereka. Pertimbangkan bahawa inilah punca mengapa anda tidak mahu mengundang kawan-kawan dan sanak saudara untuk bersama-sama anda dalam perniagaan jualan langsung MLM. Anda bimbang akan “kehilangan” mereka.


Selamat maju jaya dan jumpa lagi.

Ir. Wan Ibrahim.


07 Januari 2007

Sesi Latihan dan Mesyuarat Mingguan - Bahagian 2

Antara sebab yang membuatkan ramai prospek tidak mahu melibatkan diri dengan perniagaan jualan langsung MLM ialah mesyuarat mingguan. Leader selalu memberitahu bahawa jika seseorang pengusaha mahu berjaya dalam perniagaan jualan langsung MLM, beliau perlu menghadiri mesyuarat mingguan. Bukan setakat itu, malah setiap program yang dianjurkan oleh leader atau syarikat.

Antara soalan yang akan ditanya oleh prospek kepada anda ialah adakah mereka perlu menghadiri mesyuarat mingguan dan ramai di antara kita berada dalam dilema untuk menjawabnya. Anda tentu sudah pernah mendengar mengenai makna yang diberi kepada singkatan MLM. Antaranya, Mesyuarat Larut Malam, Masuk Lalu Mati, dan bermacam-macam lagi. Kalau dijawab YA, mungkin prospek tidak akan masuk. Kalau dijawab TIDAK PERLU, susah pula nak nak ajak mereka ke mesyuarat. Sebenarnya anda boleh mengadakan mesyuarat mingguan yang menyeronokkan jika anda tahu caranya.

Sebelum kita berbincang mengenainya, kita cerita dahulu mengenai rahsia yang saya cakapkan 2 minggu lepas. Rahsia atau petua ini boleh digunakan dalam mana-mana aspek kehidupan anda.

Rahsianya ialah ramai dari kita tidak menyedari yang kita mendengar prospek bercakap tetapi tidak mempedulikannya. Apa maksud saya?

Apabila prospek atau seseorang bercakap dengan kita, kita telah tahu apa yang beliau hendak cakapkan walaupun beliau belum habis bercakap. Tanpa kita sedari kita telah membuat keputusan untuk seseorang sebelum beliau habis bercakap. Dalam kes penajaan, penaja mungkin telah membuat keputusan bahawa orang yang hendak ditaja tidak nampak kebaikan perniagaan jualan langsung MLM apabila terkeluar sesuatu perkataan dari mulut prospek. Justeru penaja mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan bahawa perniagaan jualan langsung MLM adalah satu model perniagaan yang terbaik. Semakin penaja cuba meyakinkan prospek, semakin kukuhlah dinding pemisah antara mereka berdua.

Jadi apabila kita bercakap dengan prospek, bebaskan dari fikiran segala tanggapan yang telah tersedia ada. Kita perlu peka terhadap setiap patah yang diucapkan oleh prospek. Di dalam setiap patah perkataan tersebut terkandung apa yang bermain di fikiran mereka. Mereka mungkin berminat tetapi ada isu yang mereka perlu penjelasan. Isu tersebut mungkin menjadi penghalang kepada mereka untuk menyertai perniagaan jualan langsung MLM.

Memang menjadi kegemaran kita pengusaha perniagaan jualan langsung MLM untuk menceritakan mengenai pendapatan berpuluh ribu, malah jutaan, yang bakal diperolehi mereka yang sanggup bersama kita. Prospek percaya dengan apa yang diceritakan, cuma mereka tidak nampak bagaimana mereka boleh mencapainya. Mesej inilah yang biasanya ingin disampaikan oleh prospek tetapi mereka tidak menyatakan secara terus terang. Tugas penaja ialah untuk menunjukkan bagaimana mereka boleh mencapai kejayaan, tidak semestinya dari segi kewangan, melalui perniagaan jualan langsung MLM.

Untuk menghidupkan dan menceriakan mesyuarat mingguan, perlulah diadakan dua program yang berasingan. Satu darinya ialah program latihan mingguan untuk ahli (pengusaha perniagaan) dan satu lagi program pengenalan kepada perniagaan jualan langsung MLM untuk prospek yang dibawa oleh ahli. Untuk 20 minit pertama, prospek dijemput duduk bersama-sama dengan ahli di dalam program latihan mingguan. Program latihan boleh dimulakan dengan pengumuman dan penerangan mengenai program-program yang akan dijalankan oleh kumpulan dan juga syarikat. Kemudian diikuti dengan perkongsian pengalaman oleh ahli-ahli kumpulan yang hadir. Setelah selesai sesi berkenaan, prospek bolehlah di bawa ke bilik berasingan untuk mendengar penerangan ringkas mengenai syarikat, produk utama dan pelan pemasaran oleh ahli yang telah ditugaskan. Elakkan dari memberi penerangan terperinci mengenai Pelan Pemasaran kerana prospek belum bersedia. Program pengenalan akan berakhir pada waktu yang sama dengan program latihan, ini membolehkan ahli yang membawa prospek berjumpa dengan prospek mereka untuk memberi bantuan yang diperlukan. Program latihan & penerangan ini seelok-eloknya tidak melebihi 1 jam setengah.

Sekiranya prospek anda tidak bersedia untuk ke pusat penerangan anda, anda boleh memberi penerangan di restoran, kedai kopi (Starbuck) atau mana-mana tempat yang sesuai. Kaedah penerangannya sedikit berbeza dengan yang dijalankan di pusat penerangan.

Kita akan sambung lagi perbincangan ini dua minggu dari sekarang.

Jumpa Lagi..

Ir. Wan Ibrahim