30 September 2006

Apakah Sebab Sebenar Prospek Join Anda; Penajaan Berkesan - Bhg. 2

Selamat berjumpa kembali. Untuk umat Islam, selamat menjalani ibadat puasa.


Mengikut kajian, lebih dari 80% mereka yang gagal dalam jualan langsung MLM tidak menaja (sendiri) ahli baru walaupun seorang. Dari mula mereka menyertai jualan langsung MLM, mereka tidak mempunyai komitmen dan keyakinan untuk berjaya. Bagi kebanyakan mereka, buat apa buang masa kalau dah tahu susah nak berjaya. Tapi apa nak buat, kawan dah pujuk. Kalau tak masuk, kecil hati pula dia. Kalau tak join, mungkin rugi pula aku sebab kawan nak tolong kembangkan. Kata mereka, "Untung sabut timbul, untung batu tenggelam".

Saya sendiri pernah melakukannya dahulu. Bila kawan rapat memberi prebiu yang sangat "mendesak", saya join juga walau tiada keyakinan dengan program yang ditawarkan. Waktu itu saya telah membuat keputusan yang saya tidak akan aktif dengan syarikat tersebut. Memandangkan kawan saya tu beria-ia hendak menolong mengembangkan organisasi saya, kenapa tidak. Tetapi adakah saya memberi keadilan untuk upline, diri sendiri dan ahli di bawah saya? Kepada bekas penaja saya dalam jualan langsung MLM walau di mana anda berada, kiranya anda membaca tulisan saya ini, saya memohon kemaafan. Sebagai menebus "kesalahan" saya, inilah sumbangan saya kepada jualan langsung MLM.

Kini saya mempunyai keberanian untuk menyatakan apa yang tersirat di hati apabila kawan mempelawa saya menyertai syarikat jualan langsung MLM mereka. Saya dapat luahkan apa yang saya fikir tanpa rasa takut "kehilangan" kawan atau saudara. Jika program yang diperkenalkan tidak nampak dapat membantu merubah hidup saya, saya akan katakan, "Terima kasih kerana menceritakan kepada saya, tetapi program ini bukan untuk saya". Saya bukannya "menghalau" mereka, tetapi menyatakan seadanya, dan kami masih berkawan rapat. Dan jika saya dapati progran yang ditawarkan sesuai dan dapat menambahbaik perancangan masa depan saya, saya akan sertai mereka dan pada waktu yang sesuai. Mungkin serta merta jika memerlukan atau apabila sampai masanya mengikut perancangan saya. Ada orang akan berkata, "Telefon dan buat janjitemu dengan segera. Kalau lambat, prospek anda akan diambil orang". Ada benarnya kata-kata itu. Tetapi kalau anda tidak bersedia, anda akan biarkan tajaan (downline) baru itu terkapai-kapai seorang diri. Lamban laun beliau akan lemas. Nanti kata mereka, "Kita carilah yang pandai berenang". Yang pandai berenang pun akan hilang arah jika berenang bersendirian. Bila kehabisan tenaga, beliau akan tenggelam juga.

Suka saya bertanya, apa yang anda nampak dari perbincangan di atas atau apa yang terurai bagi anda?

Pertimbangkan pendapat ini; Seseorang prospek menyertai syarikat jualan langsung MLM yang anda perkenalkan atas alasan tersendiri, bukannya atas sebab-sebab yang anda tunjukkan kepada mereka. Tugas anda sebagai penaja adalah untuk mengorek sebab atau alasan tersebut. Kemudian bincang dan rancang dengan mereka bagaimana cara terbaik untuk mereka mencapai matlamat mereka. Bila mereka mencapai matlamat mereka, secara tak langsung anda akan mencapai matlamat anda!

Anda tentu pernah mendengar alasan-alasan berikut apabila mengajak kenalan menyertai perniagaan jualan langsung MLM anda:

. Saya tiada masa
. Saya tiada duit
. Ini skim piramid
. Ini skim cepat kaya
. Saya tidak tahu menjual
. Saya tiada kenderaan
. dan banyak lagi alasan lain..........

Anda sudah tentu diajar oleh penaja atau leader anda bagaimana hendak menangani penolakan-penolakan tersebut. Anda telah diberi skrip untuk diucapkan kepada mereka dan akan membuat susulan sehingga mereka berkata "Ya". Pertimbangkan kemungkinan bahawa anda telah "memaksa" mereka menerima pendapat anda. Bukannya salah, cuma ianya tidak akan menjadi. Ianya berlawanan dengan naluri manusia. Manusia biasa tidak suka diri mereka diperintah atau dipengaruhi (dominate). Masing-masing ada cara tersendiri untuk mengelakkannya. Ianya akan menjadi (berjaya) apabila mereka tersentuh perasaan, terharu dan terdorong dengan apa yang anda kongsikan. Lihatlah kaedah yang digunakan oleh iklan dan anda akan faham maksud saya. Kita tidak merasakan diri kita diperintah atau dipengaruhi oleh "iklan", tetapi kita merasa tersentuh, terharu dan terdorong dengan manfaat yang bakal kita perolehi apabila menggunakan produk yang diiklankan.

Contoh: Cuba tanya mereka yang menggemari Milo soalan ini:

"Adakah anda meminum Milo kerana terpengaruh dengan iklan?"
Tentu jawab mereka, "Tidak!"
Tanya lagi, "Habis tu kenapa anda minum Milo?"
Mereka akan menjawab, "Kerana ia menjadikan saya sihat dan kuat".

Satu lagi contoh; Mungkin tidak ramai yang suka memberi sedekah kepada peminta sedekah atau mereka yang mengutip derma. Anda tentu ingat program TV3, "Bersama Mu" kalau tak silap saya. Satu program yang memaparkan kepahitan hidup insan berkenaan dan TV3 memberi peluang kepada penonton untuk memberi sumbangan bagi meringankan beban insan tersebut. Boleh dikatakan semua yang menonton merasa tersentuh, terharu dan terdorong dengan apa yang dipaparkan. Dan memang terbukti, ramai yang tampil kedepan untuk memberi sumbangan masing-masing kepada insan yang diperkenalkan.

Lagi Contoh; "Mat, aku ada jumpa satu produk ajaib. Ia dapat menyembuhkan berbagai-bagai penyakit. Selepas 3 hari guna, semua penyakit kau akan hilang. Ha satu lagi Mat, kalau kau masuk jadi ahli dan edar CD yang kami dah sediakan, kau akan perolehi pendapatan puluhan RM sebulan. Kau minat nak dengar tak?"

Kalau anda jadi Mat, adakah anda akan merasa tersentuh, terharu dan terdorong untuk menyertai perniagaan yang dipromosikan?" Mungkin ya, dan mungkin juga tidak.

Jika ya, kenapa? Dan jika tidak, kenapa? Anda mungkin ada cara tersendiri. Saya menjemput anda untuk berkongsi pengalaman, pandangan atau komen agar kita sama-sama mendapat manfaat darinya.

Sehingga bertemu lagi pada 15 Oktober 2006.

17 September 2006

Konsep 5M: Penajaan Berkesan

Selamat Berjumpa Kembali, kita sambung semula perbicaraan kita mengenai "Menaja".

Ramai di antara kita berkeberatan untuk memperkenalkan jualan langsung MLM kepada prospek, terutamanya kepada saudara mara dan sahabat handai. Dari kajian didapati bahawa perasaan malu untuk bercakap bukan penyebabnya. Mari kita analisa bersama, apa punca sebenarnya.

Ada seorang pembaca yang mengatakan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk tampil di hadapan orang ramai dan bercerita mengenai penjagaan kereta. Namun untuk bercerita mengenai peluang jualan langsung MLM kepada kumpulan yang sama, beliau menjadi kaku dan kelu. Beliau bukannya tidak tahu mengenai peluang baik yang ditawarkan oleh jualan langsung MLM. Apa yang sebenarnya berlaku di sini?

Pertimbangkan bahawa ramai dari kita menyertai jualan langsung MLM kerana tidak mahu mengecewakan saudara mara atau kenalan yang menunjukkan peluang tersebut kepada kita. Setelah menyertainya, kita beranggapan bahawa orang lain juga akan menyertai kita kerana terpaksa. Kita tidak mahu "memaksa" mereka kerana tidak mahu kelihatan buruk di mata mereka. Sekiranya tidak "memaksa" kita yakin bahawa mereka tidak akan menyertai perniagaan jualan langsung MLM yang kita perkenalkan. Jesteru kita tidak mahu menceritakan peluang yang ditawarkan oleh jualan langsung MLM kepada prospek yang lain kerana mahu menjaga perhubungan atau pun kerana takut akan dikecewakan.

Ini adalah lumrah bagi manusia biasa. Setiap manusia biasa tidak mahu kelihatan buruk di mata kenalan, setiap manusia biasa takut dengan kekecewaan. Apa yang perlu dilakukan?

Dalam apa pun perkara yang kita lakukan, kita biasanya menaruh harapan untuk mencapai kejayaan. Bila apa yang diharapkan tidak dicapai, kita akan kecewa. Selepas beberapa kali kecewa, kita akan berputus asa dan membina tanggapan buruk terhadap perkara tersebut.

Berbalik kepada cerita kawan kita yang tidak mempunyai masalah untuk memberi penerangan mengenai penjagaan kereta. Apabila beliau memberi penerangan, beliau secara ikhlas memberi penerangan agar kenalan beliau memahami tentang penjagaan kereta. Beliau tidak mengharap kenalan beliau membeli apa-apa produk yang direkomenkan atau menghantar kereta ke sesuatu woksyop tertentu. Sekiranya kenalan tidak membeli apa yang direkomenkan, beliau tidak merasa kecewa kerana komitmen beliau adalah untuk menerangkan tentang penjagaan kereta kepada mereka.

Tetapi apabila kita memberi penerangan mengenai peluang jualan langsung MLM, kita menaruh harapan yang tinggi agar prospek menandatangani borang permohonan selepas kita selesai memberi penerangan. Jika mereka menolak, kita biasanya akan merasa kecewa. Selepas beberapa kali dikecewakan, kita tidak lagi sanggup untuk meneruskan perjuangan dan menyimpan kit jualan di dalam setor atau di bawah katil. Lebih teruk lagi, kita menyimpan tanggapan buruk terhadap industri jualan langsung MLM.

Untuk peringatan semua, majoriti dari prospek (untuk mana-mana penjualan) akan membuat pembeliaan selepas tujuh kali diberi pendedahan kepada prebiu atau iklan mengenai peluang, produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apa yang boleh membuatkan kita mempunyai semangat untuk terus memberi pendedahan atau penerangan kepada prospek? Jawapannya, komitmen!!! Kita boleh memilih untuk komited dalam memberi penerangan mengenai jualan langsung MLM. Komitmen kita agar semua prospek memahami akan peluang hebat yang ditawarkan oleh jualan langsung MLM. Komitmen kita agar mereka sedar bagaimana perniagaan jualan langsung dapat mempertingkatkan kedudukan kewangan mereka. Terpulanglah kepada mereka samada ingin menyertai kita atau tidak. Walau apa pun keputusan yang mereka ambil, ianya tidak sedikit pun menjejaskan hubungan kita dengan mereka.

Pertimbangkan bahawa setiap harapan yang gagal dicapai akan berakhir dengan kekecewaan. Manakala setiap komitmen yang berakhir dengan kegagalan akan tetap tinggal sebagai komitmen. Apabila ianya kekal sebagai komitmen, lambat laun apa yang diinginkan akan dicapai jua akhirnya. Walaupun ianya tidak dapat dicapai, kita akan merasa puas hati kerana dapat melaksanakan komitmen kita.

Jumpa lagi 2 minggu dari sekarang.

03 September 2006

Cabaran Perniagaan Jualan Langsung MLM

Anda tentu pernah mendengar formula ini, "Untuk berjaya dalam perniagaan jualan langsung MLM, seseorang itu perlu melaksana konsep 5M. 5M mewakili mengguna, menjual, menaja, mesyuarat dan melatih (memberi khidmat).

Anda juga tentu pernah mendengar nasihat ini dari upline anda, "Jika anda ingin berjaya, hadiri setiap mesyuarat, setiap latihan, setiap rally dan setiap program yang dianjurkan oleh leader atau syarikat".

Apa yang mula-mula datang ke fikiran anda bila terdengar formula atau nasihat di atas? Adakah anda merasa teruja untuk melaksanakannya dengan sukarela? Besar kemungkinan anda berkeberatan untuk melaksanakannya tetapi terpaksa kerana ingin memburu kejayaan yang dijanjikan. Ia adalah sesuatu yang lumrah. Kebanyakan orang akan merasakannya sebagai satu beban atau sesuatu yang sukar dilaksanakan. Tidak kurang juga yang merasa sangsi dengan janji yang diberikan. Mereka mungkin percaya tetapi tidak yakin untuk melaksanakannya. Mereka mungkin mencuba beberapa kali, tetapi apabila mereke menemui kegagalan, mereka akan berkata bahawa kesangsian tersebut telah terbukti. Jesteru mereka meninggalkan perniagaan dan melupakan impian mereka untuk mencapai kebebasan kewangan melalui perniagaan jualan langsung MLM.

Jika anda merupakan salah seorang dari mereka, saranan saya -- Jangan salahkan diri anda, penaja anda, leader anda, syarikat atau industri jualan langsung MLM. Ia memang perkara biasa bagi manusia. Mereka yang berjaya bukanlah seorang yang luar biasa. Mereka adalah manusia biasa yang sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa.

Pernahkah anda terbaca iklan yang menyatakan anda tidak perlu mengguna, menjual, menaja, mesyuarat atau maintain jika menyertai peluang yang dipromosikan? Anda mungkin tertarik untuk menyertainya.

Untuk menyegarkan kembali ingatan anda; Pemasaran berbilang tingkat, atau lebih dikenali dengan jualan lansung MLM, merupakan satu kaedah pemasaran atau pengedaran produk atau perkhidmatan. Anda akan mendapat pulangan apabila produk atau perkhidmatan diedarkan. Tiada pengedaran bermakna tiada pulangan. Jika produk atau perkhidmatan tidak digerakkan, tetapi anda masih mendapat pulangan, ianya bukan perniagaan jualan lansung MLM. Ianya mungkin satu pelaburan.

Berbalik kepada konsep 5M. Perlukah anda menjual? Kita telah berbicara mengenai perkara ini (sila rujuk kiriman sebelum ini).

Bagaimana dengan mengguna? Sekiranya anda mengguna sesuatu produk disebabkan perniagaan dan bukan keistimewaan produk tersebut, bagaimana mungkin pembeli yang bukan ahli akan membelinya. Downline anda membeli produk yang dipasarkan oleh syarikat jualan langsung MLM anda demi kepentingan perniagaan beliau. Apabila beliau mendapati perniagaannya tidak berkembang seperti diharapkan, beliau akan berhenti membeli. Apabila beliau berhenti membeli, perniagaan anda akan terjejas.

Sekiranya anda menyertai perniagaan tersebut kerana keistimewaan produk atau perkhidmatan yang dipasarkan, peluang anda untuk berjaya adalah lebih besar. Sebelum itu anda perlu mengguna produk atau perkhidmatan tersebut untuk "merasai" sendiri keistimewaannya dan dapat berkongsi dengan penuh keyakinan mengenainya. Apabila anda sudah yakin dengan keistimewaannya, mengguna bukan sesuatu yang membebankan malah merupakan satu keperluan. Jika anda dan majoriti downline anda menggunakan produk yang dibuat atau dipasarkan oleh syarikat jualan langsung MLM anda, anda sudah tentu mempunyai jualan. Lebih besar organisasi anda, lebih besarlah volume anda. Jesteru anda tidak perlu risau tentang menjual. Anda boleh gunakan masa yang ada untuk tujuan penajaan.

Menaja -- siapa yang hendak kita taja? Setiap orang yang kita jumpa? Kata orang lebih senang untuk menaja orang yang tidak dikenali berbanding dengan sanak saudara dan sahabat handai. Kenapa begitu? Sepatutnya sanak saudara dan sahabat handailah yang lebih senang untuk kita taja. Kita tentu tidak merasa malu untuk membentangkan peluang yang kita temui tersebut kepada mereka.

Pertimbangkan bahawa mereka mengenali kita, kedudukan kita, tabiat kita, latarbelakang kita dan segala-galanya mengenai kita. Tiba-tiba kita ingin menceritakan satu impian yang begitu besar (kebebasan kewangan), percaya atau yakinkah mereka? Jika anda berada ditempat mereka, apa pendapat anda bila ada sanak saudara atau sahabat handai yang datang untuk menaja anda. Anda mungkin menyertai mereka kerana "terpaksa" (tidak sanggup mengatakan tidak) atau berkata, "tunggu kau berjaya dulu".

Jadi bagaimana anda hendak menaja? Tanya diri anda, pernahkah anda menyertai sesuatu aktiviti secara sukarela dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh? Jika jawapannya ya, ingat kembali apa yang menyebabkan anda menyertainya. Sebab yang membuat anda tersentuh, terharu dan teruja untuk menyertainya dan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Lihat pula mengapa anda menyertai perniagaan jualan langsung MLM yang anda usahakan sekarang. Sekiranya sebab tersebut sesuatu yang membuat anda tersentuh, tergerak hati dan teruja, kongsikannya dengan prospek anda. Sekiranya mereka tersentuh, terharu dan teruja dengan apa yang anda kongsikan, pelawalah mereka untuk bersama anda bagi menzahirkan apa yang membuat mereka tersentuh, terharu dan teruja.

Sebagai contoh, saya ceritakan kisah seorang peguam yang giat menjalankan perniagaan jualan langsung MLM. Anak beliau yang berumur 5 tahun mengidap penyakit asma yang kronik dan sedang menjalani rawatan. Wang ringgit tidak menjadi masalah kepada beliau, pendapatan beliau sebagai seorang peguam swasta amat lumayan sekali. Yang selalu merisaukan beliau ialah apabila anaknya diserang asma di waktu awal pagi. Ketika kebanyakan orang sedang tidur, beliau dan isteri terpaksa berkejar ke hospital. Perkara tersebut bukan sekali dua terjadi, tetapi berulang kali sehingga menjejaskan kehidupan mereka suami isteri. Untuk pendekkan cerita, penyakit anak beliau bertambah baik selepas mengambil satu produk pemakanan tambahan. Mereka merasa tersentuh, terharu dan teruja dengan perkembangan anak mereka. Mereka ceritakan perkembangan anak mereka kepada sanak saudara dan kenalan tanpa sebarang niat tersembunyi, mereka cuma hendak berkongsi kegembiraan mereka. Ini membuat mereka yang mendengar merasa tersentuh, terharu dan teruja dan mula bertanya tentang produk berkenaan. Itulah saat yang merupakan titik permulaan peguam tersebut menceburi diri dalam dunia jualan langsung MLM. Misi beliau ialah untuk memberi peluang kepada kaum keluarga dan para kenalan menjalani kehidupan yang sihat. Beliau kini merupakan salah seorang leader dalam syarikat jualan langsung MLM yang beliau sertai.

Sekian dulu untuk kali ini, kita sambung lagi bicara mengenai "Penajaan Berkesan" dan konsep 5M dua minggu dari sekarang.

Salam Sejahtera

Ir. Wan Ibrahim
emel: ceo@wanibrahim.com.